MADINAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini berpeluang memasuki Raudah, salah satu tempat suci yang menjadi rebutan untuk dikunjungi semasa berada di Masjid Nabawi di sini.

Naib Konsul Haji Malaysia, Ashrof Shamsuddin bagaimanapun berkata, ia bergantung atau tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi untuk meluluskan permohonan yang dibuat melalui aplikasi Nusuk.

"Insya-Allah, kesemua jemaah kita seramai 31,600 orang, kita akan membuat permohonan rasmi melalui Nusuk secara berkumpulan dan bukannya secara individu dan berpeluang ziarah dalam serta mendapat akses masuk ke Raudah semasa berada di Madinah nanti.

“Namun, ia tetap bergantung kepada persetujuan kerajaan Arab Saudi sama ada akan meluluskan atau sebaliknya permohonan tersebut," kata beliau kepada pemberita dalam sidang media, di sini.

Ashrof yang juga Pengarah Operasi Madinah menambah, bagi mengelakkan salah faham dan beberapa kekeliruan, pihak Tabung Haji sendiri yang akan membuat permohonan melalui Nusuk sekali gus untuk mendapatkan permit memasuki Raudah.

"Ini bermakna, jemaah haji Tabung Haji tidak perlu membuat permohonan secara individu kerana pihak kami sendiri akan melakukan bagi pihak mereka,"ujarnya.

Menurut beliau, TH mengambil berat soal kebimbangan jemaah haji khususnya dalam kalangan warga emas yang kurang mahir dalam digitalisasi serta keperluan aplikasi sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Justeru, pihak TH mahu memastikan perkara itu ditangani sebaik mungkin supaya kesemua tetamu Allah pada musim haji kali ini, 1445H/2024M, mendapat peluang bukan sahaja memasuki Raudah, malah untuk ke lokasi lain di Arab Saudi menerusi program ziarah luar dan dalam.

Ditanya bilakah permohonan itu akan dibuat, beliau menjelaskan, TH akan membuat permohonan apabila kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah pada 9 Mei ini.

"Seramai lebih 200 orang jemaah akan tiba di Madinah nanti dan kita akan mula membuat permohonan masuki Raudah menerusi Nusuk pada 9 Mei," jelas Ashrof.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain ziarah dalam di Masjid Nabawi dan Raudah, jemaah haji Malaysia akan turut dibawa ke beberapa lokasi untuk ziarah luar seperti di Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Ladang Kurma dan Jabal Uhud sepanjang enam hari lima malam di Madinah.   

Dengan aktiviti serta program ziarah yang dirancang secara khusus itu, ia diharapkan supaya kesemua jemaah haji Malaysia berupaya mengambil manfaat dan pendidikan daripada sejarah Rasulallah serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di Madinah.

Untuk rekod, Nusuk merupakan platform digital bersepadu Arab Saudi yang menawarkan pintu masuk perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Mekah dan Madinah.

Aplikasi Nusuk dilancarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 2018.

Antara lain, pelancarannya dengan kerjasama dan perkongsian bersama Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi, Nusuk bermatlamat menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

Malah, laporan Saudi Gazette menyebut, Nusuk merupakan antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Wawasan 2030 di mana ia adalah kesinambungan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah dengan menggunakan teknologi terkini.

Aplikasi Nusuk adalah wajib untuk mendapatkan akses ke Raudah dan jemaah perlu menggunakan aplikasi itu bertitik-tolak daripada keprihatinan pihak berkuasa Arab Saudi yang menekankan pentingnya tempahan yang teratur dan kepatuhan kepada jadual yang ditetapkan untuk mengunjungi Raudah demi memastikan pengalaman ziarah yang teratur dan penuh hormat.

Pelancaran aplikasi Nusuk oleh pihak kementerian adalah tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada jemaah menerusi pengeluaran permit yang diperlukan bagi menunaikan umrah, melawat Raudah di Masjid Nabawi, Madinah mengikut kapasiti yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.